mutakhir

Anjur solat hajat serentak

Oleh BERNAMA

SELURUH masjid di Negeri Sembilan akan menganjurkan solat hajat serentak bagi memohon agar Malaysia dilindungi Allah SWT daripada penularan penyakit 2019 Koronavirus Baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu sedang diselaraskan dan menunggu tarikh sesuai untuk diadakan.

“Kita nak buat solat hajat bukan sahaja mengenai masalah virus ini, bahkan memohon supaya diturunkan hujan kerana negeri ini sudah lama tidak hujan dan keadaan agak kering,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan China Negeri Sembilan (DPCNS) di Seremban, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi DPCNS Tan Eng Beng, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional Choo Ken Hwa.

Sementara itu, Tan dalam ucapannya menasihati semua ahli DPCNS agar menangguhkan lawatan ke Wuhan, China berikutan wabak koronavirus di sana.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 27, 2020 @ 6:29pm
    d