mutakhir

Koronavirus: Agong titah masjid adakan solat hajat

Oleh Suraya Roslan

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid mengadakan solat hajat dan doa selamat.

Ia bagi memohon kepada Allah SWT memelihara negara dan rakyat negara ini daripada sebarang penyakit tidak diingini susulan peningkatan wabak koronavirus baharu di China dan negara lain, termasuk Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah sentiasa mengikuti perkembangan terkini penularan wabak itu.

Beliau berkata, baginda juga begitu prihatin serta bimbang dengan keselamatan diri juga kesihatan rakyat yang berada dalam negara serta di luar negara susulan peningkatan jumlah kes positif dan angka kematian seluruh kawasan yang terjejas di China.

“Baginda menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakkan doa supaya Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan.

“Baginda juga berharap semua usaha dilakukan pihak berkuasa tempatan dan di kawasan yang terjejas dalam menangani gejala wabak itu semoga situasi kehidupan insan dapat dipulihkan seperti sedia kala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah turut mengulangi nasihat baginda sebelum ini kepada rakyat untuk sentiasa mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini wabak koronavirus hanya dari saluran rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), agensi kerajaan serta media arus perdana dan bukannya dari sumber tidak sahih.

“Baginda menyeru rakyat agar sentiasa mengikuti nasihat dan saranan langkah pencegahan serta amalan kesihatan seperti digariskan KKM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 1:15pm
    d