mutakhir

Rujuk Wisma Putra jika mahu lawatan kerja ke China

Oleh Norzamira Che Noh

KERAJAAN negeri akan merujuk Wisma Putra sebelum meneruskan lawatan kerja ke luar negara berikutan penularan koronavirus baharu atau 2019-nCoV.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lawatan untuk tujuan pelaburan khususnya akan diteruskan terutamanya di lokasi kurang berisiko.

"Dalam situasi sekarang, kita akan merujuk Wisma Putra terlebih dahulu untuk mendapat maklumbalas serta nasihat dari masa ke semasa kerana mereka ada maklumat terkini.

"China juga sudah mengambil beberapa tindakan pengawalan di Wuhan dan Hubei dan saya percaya kita perlu mengambil tindakan mengikut prosedur serta garis panduan yang ditetapkan dan bukan terus menekan ‘panic button’," katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Agensi Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah di Shah Alam, hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan Persekutuan juga dilihat berjaya menghalang jangkitan atau transmisi virus dari manusia ke manusia yang lain.

"Jika ada yang dikesan positif Coronavirus, tindakan kawalan dan kuarantin segera dilakukan malah kita juga menerima beberapa cadangan sebagai contoh pusat isolasi.

"Kita belum melaksanakan buat masa ini kerana keadaan masih terkawal dan perlaksanaan akan dilakukan sesuai dengan arahan Jabatan Kesihatan Selangor," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sentiasa bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutamanya kerana Selangor adalah pintu utama kemasukan ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelasnya, pihaknya juga sudah menyediakan pelbagai alternatif jika diperlukan terutamanya menangani pelancong dari luar.

"Pengimbas haba di KLIA juga berjaya mengawal baik serta mengesan mereka yang berisiko membawa Coronavirus," katanya.

Sementara itu, pada ucapan perasmian, Amirudin mengingatkan warga agensi agama Islam di negeri itu sentiasa menunjukkan contoh yang baik kerana mereka membawa nama Islam.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 3:13pm
    d