mutakhir

Langkah proaktif walau tiada kes koronavirus

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PULAU Pinang mengambil langkah proaktif untuk mencegah penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) meskipun negeri itu bebas wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, ia seiring tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengawal penularan.

“Sehingga kini tiada sebarang kes positif dan diharap ia akan berterusan, malah kita yakin dengan penggantungan visa juga dapat mengurangkan risiko (wabak).

“Namun kita tetap ambil langkah dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menambah petugas di pintu masuk negeri terutama di lapangan terbang dan menggunakan alat pengesan haba.

“Ia bagi memastikan semua pelancong yang masuk tiada simptom koronovirus seperti demam, batuk dan selsema,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, sekiranya ada pengesanan yang disyaki (PUI), pengasingan dibuat dan pemeriksaan semula di pusat kuarantin kesihatan.

Selain itu, petugas JKNPP turut mengedar risalah berhubung koronavirus kepada pelancong yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas.

Dr Afif ditemui ketika mengadakan lawatan bersama Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib di kawasan saringan di LTAPP.

Untuk rekod, 8,967 pelancong China memasuki Pulau Pinang menerusi 11 penerbangan pada 26 dan 27 Januari lalu menjalani saringan dan tiada yang dikesan mempunyai simptom wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 6:39pm
    d