mutakhir

Henti sebar berita palsu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENYEBAR berita palsu di media sosial berkaitan wabak koronavirus baharu bakal berdepan tindakan tegas kerana mencetuskan suasana panik di kalangan orang ramai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, selain itu mereka juga diminta tidak berkongsi berita palsu berkenaan.

Menurutnya, setiap individu perlu lebih bertanggungjawab kerana peruntukan undang-undang berat menanti mereka sekiranya terbukti melakukan kesalahan itu.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya prihatin kepada perkara ini. Jangan menyebarkan berita palsu berkaitan wabak (koronavirus baharu) ini kerana boleh menimbulkan suasana tidak elok dan ketakutan kepada masyarakat.

“Sebaiknya dapatkan maklumat tepat melalui laporan daripada agensi berkaitan atau media berhubung wabak itu,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar, hari ini.

Mohd Zakaria berkata, setakat ini kerajaan sudah melakukan yang terbaik untuk mengekang penularan wabak berkenaan.

Terdahulu, lima individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu ditahan untuk membantu siasatan.

Mereka ditahan secara berasingan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk diambil keterangan.

Kesemua individu ini ditahan di empat negeri di Melaka, Kedah, Pahang dan Selangor antara 25 Januari hingga 27 Januari lalu.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 30, 2020 @ 4:30pm
    d