mutakhir

Pantau 14 hari warga pendidik, pelajar dari Wuhan

Oleh Amir Abd Hamid

SEMUA warga pendidik, pentadbir dan pelajar Malaysia serta bukan warga negara yang mempunyai sejarah tinggal atau melawat Wuhan dan Hubei, China akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemantauan di tempat masing-masing selama 14 hari dari tarikh berlepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa sama pendaftaran pelajar dari Wuhan dan Hubei ditangguhkan di semua institusi pendidikan negara ini.

Namun, katanya, pelajar dari wilayah lain di China dibenarkan mendaftar untuk belajar dengan pemantauan rapi institusi pendidikan yang berkenaan.

“Kesiapsiagaan dan respon terhadap wabak koronavirus baharu (2019-nCoV) dipertingkatkan bagi menanganinya.

“Pengesanan awal kes disyaki jangkitan 2019-nCoV penting dalam pengurusan kes dan kontak rapat dalam menghadapi potensi penularan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian situasi terkini jangkitan 2019-nCoV, di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon dan Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Norhayati Rusli.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, sehingga jam 12 tengah hari pada hari ini tiada pertambahan kes positif 2019-nCoV.

Lapan kes positif 2019-nCoV itu, katanya, masing-masing empat dirawat di Hospital Sungai Buloh, tiga di Hospital Permai, Johor dan seorang di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 6:58pm
    d