mutakhir

Zed Zaidi beri keterangan dua jam

Oleh Samadi Ahmad

PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi memberi keterangan selama dua jam di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), di Cyberjaya, hari ini berhubung kenyataannya mengenai wabak koronavirus baharu yang dimuat naik di akaun media sosialnya.

Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil hadir pada 3.30 petang dengan ditemani peguamnya, Zamri Idrus dan dilihat keluar dua jam kemudian.

Zamri berkata, kehadiran anak guamnya ke SKMM itu adalah berkenaan status dimuat naik di laman Twitternya yang menyatakan bahawa situasi di negara ini sudah tidak selamat apabila rakyat Malaysia terpaksa memakai penutup muka bagi mengelak daripada dijangkiti influenza dan wabak koronavirus baharu yang melanda Wuhan, China ketika ini.

Beliau berkata, Zed dipanggil SKKM bagi memberi keterangan dan ada kertas siasatan dibuka mengikut Akta 233 (1A) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Katanya, sepanjang diambil keterangan anak guamnya memberi kerjasama dan pihak SKMM turut mengambil sim kad milik Zed untuk tujuan siasatan.

“SKMM turut memaklumkan sekiranya diperlukan anak guam saya akan dipanggil semula untuk hadir bagi memberi keterangan.

“Perkara ini masih dalam siasatan dan biarlah pihak berkuasa menentukan sama ada ia berita palsu atau sebagainya,” katanya kepada media.

Baru-baru ini, media melaporkan Zed memuat naik hantaran di media sosial berita: ‘Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia’ (Berita tergempar: Semua negara kecuali Malaysia – semua negara mengharamkan pelancong China kecuali Malaysia).

Hantaran pelakon itu turut menerima kecaman daripada nitezen selepas dimuat naik di akaun Facebook dan Twitternya sejak semalam.

Selain Zed, dua lagi individu turut dipanggil SKMM bagi memberi keterangan berhubung berita palsu 2019 n-CoV.

Antara yang memberi keterangan adalah, pemilik portal Oh Media, Mohd Khairul Anuar Rosli dan seorang individu lain.

Sementara itu, Zed berkata, hantaran dimuat naik di media sosialnya itu bukan bertujuan untuk menyebarkan berita palsu kepada orang ramai.

“Saya akan memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes itu.

“Saya harap agar orang ramai mengambil langkah berhati-hati ketika menyebarkan sesuatu berita agar tidak mendatangkan rasa risau dalam kalangan masyarakat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 31, 2020 @ 7:49pm
    d