mutakhir

Sarawak laksana larangan masuk warga China

Oleh Mohd Roji Kawi

WARGA China dan dari negara lain yang pernah mengunjungi China dalam tempoh 14 hari sebelum ke Sarawak dilarang masuk ke negeri itu sehingga tempoh dimaklumkan kelak.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, bagaimanapun pengecualian diberikan kepada mereka yang mempunyai pas kerja, pas pelajar atau pas lawatan sosial jangka panjang.

"Mereka wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari selepas dibenarkan masuk ke Sarawak.

"Tindakan ini diambil sebagai sebahagian daripada langkah dan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan penyebaran koronavirus baharu," katanya.

Bagi rakyat Sarawak yang kembali dari China dalam tempoh 14 hari yang lalu, mereka juga wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Warga China yang berada di Sarawak pula dinasihatkan melapor diri di Konsulat Jeneral Republik China mengenai tempat penginapan dan lokasi tujuan mereka di sini.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 6:17pm
    d