mutakhir

Koronavirus: Ramai dah pakai penutup mulut

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TAHAP kesedaran rakyat di negara ini mengenai pentingnya memakai penutup mulut berikutan penularan wabak koronavirus baharu semakin meningkat.

Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di Lembah Klang mendapati, pengunjung pasar raya dan restoran mengenakan topeng berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga seperti disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak minggu lalu.

Pelbagai jenis penutup mulut digunakan orang ramai termasuk pelancong asing yang mengambil kesempatan membeli belah di kompleks terkemuka di Kuala Lumpur dan ada yang turut memakaikan kepada anak kecil.

Bagi pereka grafik, Mohd Hafiz Zainol Abidin, 32, dia membeli penutup muka sejak isu penularan wabak 2019-nCoV minggu lalu dan memastikan anak serta isteri menggunakannya setiap kali keluar rumah.

Katanya, langkah pencegahan berkenaan adalah perlu memandangkan keadaan masih tidak menentu dengan kerajaan melakukan yang terbaik bagi memastikan ia dapat ditangani.

“Sebenarnya saya memang selalu menggunakan topeng muka ketika berada di luar rumah. Bila berlaku keadaan seperti ini, saya pastikan ahli keluarga serta rakan turut berjaga-jaga dan mengambil tindakan yang perlu seperti penjagaan kesihatan.

“Selain itu, saya juga berkongsi maklumat mengenai kaedah terbaik menjaga kesihatan diri di dalam kumpulan WhatsApp sebagai usaha memastikan persekitaran kita bebas daripada sebarang penyakit,” katanya kepada Harian Metro.

Pemandu Grab, Muhamad Akmal Azam Mohamad Fadzli berkata, 24, sebagai pemandu e-hailing, dia turut mengambil peluang untuk mempromosi penjagaan kesihatan kepada penumpang terutama pelancong asing.

Katanya, hampir setiap penumpang yang menggunakan khidmatnya bertanyakan mengenai perkara itu dan dia menggunakan penutup muka untuk memberikan contoh kepada mereka. Saya anggap ini sebagai tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya turut menasihatkan pelanggan supaya menjaga kesihatan dan mengikut nasihat pihak berwajib bagi mencegah wabak itu.

“Arahan mengenainya saya buat menerusi kumpulan WhatsApp ahli PRESMA. Ada restoran yang memberikan nasihat mengenai perkara itu. Kita akan bantu kerajaan menyampaikan mesej kesihatan kepada pelanggan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 1, 2020 @ 8:04pm
    d