mutakhir

Kerajaan sedia timbang pakej rangsangan

Oleh Bisnes HM

BAGI menghadapi kesan penularan koronavirus baharu yang kini dikesan di 24 negara termasuk Malaysia, kerajaan sedang menimbangkan pakej rangsangan yang bukan saja memberi suntikan kepada ekonomi, tetapi juga memberi keutamaan terhadap keperluan yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi tahun 2020, peruntukan RM227 juta disediakan untuk pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan buat semua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“MEA bersedia untuk menimbangkan tambahan peruntukan sekiranya diperlukan. Kerajaan akan beri keutamaan terhadap kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan juga mengambil beberapa langkah bagi memastikan kesiapsiagaan negara dalam menangani jangkitan koronavirus baharu selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang pada Khamis lalu mengumumkan darurat kesihatan awam global susulan penularannya.

Sehingga semalam, seramai 259 orang mati akibat wabak koronavirus itu di China dan hampir 12,000 kes dikesan di seluruh dunia.

Mohamed Azmin berkata, sekiranya penularan wabak berkenaan berlarutan dalam tempoh masa yang panjang dan memberi kesan ke atas ekonomi China, ekonomi Malaysia juga akan terjejas memandangkan China adalah antara rakan dagangan terpenting Malaysia.

Antara sektor yang dijangka menerima kesan adalah sektor pelancongan, penerbangan, pengangkutan, pendidikan, pembuatan dan pembinaan.

Tahun lalu, Malaysia menerima hampir 26 juta pelancong dan lebih daripada tiga juta orang adalah pelancong dari China.

Sektor pelancongan menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Di samping itu, sektor pembuatan dan pembinaan yang bergantung kepada input dari China juga dijangka terkesan sekiranya China memanjangkan tempoh kuarantin atau menambahkan bilangan bandar yang akan ditutup bagi menyekat penyebaran wabak di republik itu.

“Dalam hal ini, kerajaan bersama-sama dengan agensi antarabangsa dan pihak swasta akan mengambil langkah proaktif berasaskan kepada fakta dan maklumat terkini bagi mengurangkan kesan negatif penularan wabak ini ke atas ekonomi Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 12:51pm
    d