mutakhir

Rakyat Malaysia di Wuhan dijangka pulang esok

Oleh Amir Abd Hamid

SERAMAI 132 orang membabitkan 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara sudah mendaftar dengan Kedutaan Malaysia di Beijing untuk dibawa pulang dari bandar Wuhan, China yang dilanda wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, 24 bukan warganegara berkenaan adalah pasangan dan anak kepada rakyat negara ini.

Beliau berkata, mereka dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan ditetapkan oleh kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

“Misi bantuan kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia ini akan diselaraskan lapan 8 pegawai iaitu enam dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana (NADMA) dan seorang pegawai Kementerian Luar Negeri.

“Pesawat AirAsia akan digunakan bagi misi ini dengan 12 kru. AirAsia sudah menetapkan tarikh penerbangan pada 3 Februari 2020 tertakluk kepada kelulusan kerajaan China.

“Penerbangan ini juga membawa bantuan keperluan seperti topeng, sarung tangan dan makanan yang tertakluk kepada senarai dipersetujui oleh pihak Kerajaan China,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, pagi tadi beliau bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah diberikan taklimat oleh Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur 2 mengenai misi berkenaan.

Dr Wan Azizah berkata, beliau sudah bertemu semua pegawai yang akan menyertai misi termasuk kru penerbangan untuk mengucapkan terima kasih kerajaan dan rakyat Malaysia khususnya keluarga yang terbabit atas pengorbanan mereka membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan.

“Saya juga menasihati supaya sentiasa menjaga kebajikan dan kesihatan mereka dan semua yang dibawa pulang.

“Saya turut mengambil kesempatan melawat Air Disaster Center (ADU) di mana di ADU, semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan sekali lagi sebaik sahaja tiba ke tanah air.

“Bagi mereka yang dikesan mempunyai simptom, akan terus dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan akan dibawa terus menaiki bas ke Pusat Pemantauan untuk tujuan pemantauan.

“Saya dapati persiapan dan kelengkapan perubatan sudah disediakan sebaik mungkin untuk tujuan pemeriksaan kesihatan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, beliau juga sudah meninjau Pusat Pemantauan termasuk keadaan bilik operasi, bilik penginapan dan kemudahan disediakan untuk kepulangan 158 penumpang termasuk enam pegawai Kedutaan Malaysia di Beijing yang akan menjalani pemantauan selama 14 hari.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan semua atur gerak dan persiapan yang dibuat untuk melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Malaysia ke China berikutan isu kluster penyakit 2019-nCoV itu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak seperti KKM, AirAsia, Malaysia Airports Holdings Berhad, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, NADMA dan agensi lain yang menguruskan misi ini.

“Marilah kita rakyat Malaysia mendoakan misi ini berjalan lancar dan semua yang dibawa pulang dari Wuhan serta pasukan misi serta kru terlibat selamat,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini kejadian 2019-nCoV di Malaysia sehingga jam 12 tengah hari semalam, beliau berkata, tiada pertambahan kes positif 2019-nCoV.

“Jumlah kumulatif kes positif 2019-nCoV yang dilaporkan kekal lapan kes. Jumlah kumulatif kes Patient Under Investigation (PUI) jangkitan 2019-nCoV adalah seramai 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal.

“Kontak rapat kepada kes positif 2019-nCoV kekal seramai 32 orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 2, 2020 @ 3:52pm
    d