mutakhir

Penutup mulut dan hidung, pencuci tangan percuma?

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PERSATUAN Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan diedarkan secara percuma di negara ini bagi menangani penularan koronavirus baharu (2019-nCoV).

Cadangan itu disuarakan Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman yang mahu syarikat korporat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan dua item berkenaan sebagai langkah pencegahan jangkitan wabak itu.

Beliau berkata, syarikat pembekal dan peniaga juga disaran menurunkan harga, sekiranya sukar mengedarkan barangan itu secara percuma.

Menurutnya, syarikat pembekal dan peniaga di beberapa negara seperti Jepun sudah mengedarkan penutup mulut dan hidung secara percuma sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat.

“Malaysia juga boleh mengambil contoh sama dengan berganding bahu mengedarkan dua barangan utama ini secara percuma kepada orang ramai bagi menghindar masyarakat setempat dijangkiti virus membawa maut itu.

“Jika agak sukar mungkin potongan harga boleh diberikan. Soal untung dan rugi ada kalanya kita perlu berkompromi bagi memastikan Malaysia selamat dan masyarakat mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Yusof berkata, langkah yang diambil ini boleh membantu kerajaan mengawal penularan wabak berkenaan.

Katanya, sudah tiba masa ahli perniagaan berganding bahu membantu kerajaan kerana penularan wabak itu bukan saja menjejaskan kesihatan, malah turut memberi impak kepada ekonomi negara.

Penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan kini menjadi barangan yang ‘panas’ di pasaran berikutan permintaan tinggi daripada orang ramai sebagai langkah pencegahan penularan koronavirus baharu.

Wuhan, sebuah bandar di wilayah Hubei, China dikatakan menjadi lokasi punca penularan wabak itu kini sepi selepas kerajaan negara itu mengarahkan penduduk tidak melakukan sebarang aktiviti luar, manakala mod pengangkutan digantung sehingga kawasan berkenaan disahkan selamat.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 1:17pm
    d