mutakhir

Lapan kes PUI Koronavirus Baharu dikesan di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

JUMLAH kumulatif Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) Koronavirus Baharu di Sarawak kini mencecah 32 orang yang direkodkan sejak 10 Januari lalu hingga hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini sebanyak 24 kes PUI disahkan negatif manakala lapan lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.

Beliau berkata, daripada lapan kes kes PUI baharu itu, tiga direkodkan hari ini dengan semuanya dilaporkan di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching.

“Tujuh daripada lapan kes PUI terbaharu itu membabitkan wargan Malaysia dengan lima dilaporkan di HUS manakala masing-masing satu di Bintulu dan Miri.

“Satu lagi kes PUI membabitkan warga China pula dilaporkan di HUS,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ik Pahon Johik; Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, Datuk Ken Leben dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, semua lapan sampel terbaharu itu kini diuji di HUS selepas hospital berkenaan memiliki kemudahan makmal ujian wabak berkenaan

“Dengan adanya kemudahan itu, keputusan ujian makmal terhadap sampel kes PUI itu dijangka diperoleh dalam tempoh kurang 48 jam,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata peralatan pengimbas haba sudah ditempatkan di Lapangan Terbang Bintulu dan Lapangan Terbang Sibu bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan terhadap semua penumpang pesawat yang tiba di negeri ini.

“Semua pintu masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) pula dibekalkan dengan alat pengesan suhu badan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sehingga hari ini, jumlah pelawat yang dilarang masuk ke Sarawak kekal 16 orang.

“Jumlah itu direkodkan pada Sabtu dan Ahad lalu, manakala semalam (Isnin) dan hari ini, tiada laporan mengenainya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 2:33pm
    d