mutakhir

1,200 pekerja 'lawan' koronavirus di KLIA [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

MALAYSIA Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil langkah proaktif dengan menempatkan lebih 1,200 pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 bagi memastikan tahap kebersihan kedua-dua lapangan terbang semasa penularan wabak coronavirus (2019-nCoV) berada di tahap tertinggi.

Pengurus Kanan Operasi Bahagian Perkhidmatan Terminal MAHB, Abd Hasman Abd Muhimim berkata, pekerja pembersihan itu akan dibahagikan kepada dua shif di mana setiap shif membabitkan seramai 320 pekerja kebersihan ditempatkan di KLIA manakala seramai 280 pekerja pula di klia2.

Katanya, MAHB akan memastikan kedua-dua lapangan terbang itu dalam keadaan selamat dan bersih.

“Ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada kakitangan serta penumpang ketika berada di kawasan berkenaan.

“Mereka yang ditugaskan itu akan bekerja dari jam 7 pagi hingga 7 malam. Ini sebenarnya adalah operasi biasa yang dilakukan setiap hari oleh pihak MAHB.

“Cuma sejak 25 Januari lalu, kita mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung penularan wabak berkenaan. Atas sebab itu pihak MAHB meminta pekerja kebersihan untuk membersihkan setiap tempat menggunakan cecair pembasmian kuman.

“Sehingga kini sebanyak RM16,000 sudah dibelanjakan untuk membeli segala peralatan perlindungan diri (PPE) dan produk pembersihan dan pembasmian kuman,” katanya ketika ditemui media selepas memberikan taklimat dan menunjukkan demonstrasi pembersihan yang dilakukan di KLIA, di sini, hari ini.

Abd Hasman berkata, pekerja pembersihan akan membersihkan semua kawasan yang disentuh oleh penumpang termasuk 5,600 troli, tempat duduk, besi tempat pemegang, lif, butang lif, bilik menunggu, tandas, kaunter daftar masuk dan beberapa kawasan lain.

“Selain itu, kita juga turut menyediakan botol pembasmian kuman untuk di gunakan oleh penumpang semasa berada di KLIA dan klia2,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 5:42pm
    d