mutakhir

Fokus kini tarik pelancong Jepun

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

KERAJAAN Negeri komited menarik lebih ramai pelancong selain dari China untuk datang ke negeri ini ekoran penularan wabak koronavirus.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tumpuan pelancong ketika ini terarah dari Timur Tengah, Korea Selatan, Taiwan, Eropah dan Amerika Syarikat yang tidak terjejas dengan virus itu.

"Misalnya, pengunjung dari Jepun menyukai negeri ini kerana menyediakan program pelancongan seperti pesta musim panas Bon Odori.

"Ini adalah sebahagian daripada promosi yang akan kita (Kerajaan Negeri) perhebatkan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Selangor," katanya selepas merasmikan Program Pemurniaan Pelancongan (P3S) Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) di Dataran Malawati, Kuala Selangor tadi.

Amirudin berkata, wabak koronavirus bukan sahaja memberi kesan kepada kemasukan pelancong dari China, malah pelancong negara lain turut berhati-hati ke luar negara.

"Kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang mengawal dengan baik kesan penyakit ini dan berdoa agar vaksin menangani wabak ini dapat dihasilkan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Kementerian Kesihatan merekodkan 10 kes positif koronavirus baharu dikesan di Malaysia dalam tempoh lebih tiga minggu.

Sembilan kes positif membabitkan warga China dan seorang Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 6:44pm
    d