mutakhir

Polis siasat 13 kes berita palsu koronavirus

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka 13 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu koronavirus baharu (2019-nCov) di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, tiga daripadanya sudah mendapat arahan pendakwaan di mahkamah oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, satu kes didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, manakala dua lagi kes akan didakwa di mahkamah di Sandakan dan Kuala Terengganu.

“Mereka yang didapati menularkan berita palsu akan berdepan tindakan undang-undang, tidak ada guna lagi untuk diberikan nasihat.

“Mereka akan menunggu habuan masing-masing di mahkamah. Jika ada laporan, kita akan jalankan siasatan untuk bawa individu berkaitan ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 sempena Tahun Baharu Cina di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Bhd (PLUS), Datuk Mohamad Nasir Ab Latif; Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Sementara itu, berhubung kes 17 individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil yang ditahan dalam pesta dadah, Mansor berkata, pihaknya masih menunggu keputusan patologi.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing kali kedua daripada pakar patologi itu dijangka diperoleh dalam masa terdekat.

Dalam kejadian pada 12 Januari lalu, 17 individu berusia antara 20 hingga 53 tahun ditahan ketika serbuan pesta dadah di kondominium di Jalan Puchong.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 11:51am
    d