mutakhir

Malaysia sudah catat lima kes koronavirus

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

DUA beranak yang dibawa pulang dari Wuhan, China menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan disahkan rakyat Malaysia terbaharu positif

koronavirus (2019-nCoV).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mereka yang tiba semalam sudah dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk rawatan lanjut.

“Dua beranak ini ialah lelaki berusia 45 tahun dan anak lelakinya berusia sembilan tahun. Isteri lelaki itu dan anak perempuannya negatif wabak,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah menjalankan saringan kesihatan serta mengambil sampel klinikal terhadap 107 individu yang pulang melalui misi bantuan berkenaan.

“Saringan kesihatan berkenaan turut dibuat ke atas 26 petugas termasuklah pasukan perubatan dan kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pegawai Kementerian Luar Negeri, 12 anak kapal dan enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di China.

“Kesemua mereka negatif wabak dan kini sedang menjalani pemantauan selama 14 hari di Pusat Pemantauan,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, bermula 10 Januari hingga 10 pagi hari ini, seramai 257 pesakit di bawah pemantauan (PUI) yang mana 161 ialah warganegara; 91 warga China dan masing-masing satu warganegara dari Australia, Korea, Jordan, Brazil dan Thailand.

“Setakat hari ini, lima kes disahkan positif wabak, 235 kes negatif dan 17 kes kini masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

Sementara itu, mengenai kes pertama yang membabitkan warga tempatan berusia 41 tahun, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mengesan 74 kenalan rapatnya untuk disaring.

“Daripada jumlah itu, 35 orang sudah diambil sampel dan diletakkan di bawah pengawasan di rumah serta dipantau oleh pihak kementerian,” katanya.

Semalam, Dr Dzulkefly mengesahkan lelaki itu dikesan dijangkiti virus terbabit dan mempunyai rekod perjalanan menghadiri mesyuarat di Singapura dari 16 hingga 23 Januari yang mana mesyuarat turut dihadiri delegasi antarabangsa termasuk dari China.

Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan dimasukkan ke wad isolasi pada 3 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 4:58pm
    d