mutakhir

Johor tangguh semua program skala besar

Oleh Mohamed Farid Noh

KERAJAAN Johor menangguhkan semua program perhimpunan awam berskala besar anjurannya sepanjang bulan ini bagi mengelak penularan wabak Koronavirus Baharu.

Antara program berskala besar yang ditangguhkan termasuklah Festival Layang-Layang Antarabangsa (26 Februari-1 Mac) dan Karnival Semarak Juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 (15 Februari).

Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, langkah itu dilakukan bagi mengelakkan penularan wabak koronavirus menjadi lebih serius.

“Penangguhan semua program perhimpunan awam berskala besar anjuran kerajaan Johor dibuat berikutan penilaian risiko yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

“Faktor yang dipertimbangkan untuk penangguhan adalah risiko kepada kesihatan manusia, risiko penyebaran wabak dalam perhimpunan awam dan risiko kekurangan keupayaan pengawalan dengan sumber yang sedia ada.

“Kerajaan Johor juga menasihatkan program skala besar dianjurkan pihak lain supaya turut ditangguhkan,” katanya pada sidang media di Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Johor, Dr Aman Rabu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Sehingga semalam, sebanyak 20,650 kes jangkitan koronavirus dilaporkan di seluruh dunia dengan 427 kematian direkodkan.

Dr Sahruddin berkata, antara program berskala besar anjuran pihak luar yang dinasihatkan ditangguhkan termasuklah perarakan Thaipusam (8 Februari), Festival Perarakan Chingay (14 Februari) dan perarakan sempena Maulidur Rasul.

Beliau berkata, Kerajaan Johor juga mencadangkan langkah spesifik kepada orang ramai iaitu meminimumkan pendedahan kepada orang ramai bagi mengelakkan risiko penyakit.

“Kita juga akan meningkatkan keupayaan tindakan pencegahan dan kawalan yang lebih berkesan.

“Kerajaan Johor berharap rakyat sentiasa mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya di samping mengikuti perkembangan semasa dan arahan pihak berkuasa terutama sentiasa menjaga kebersihan, ” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 5:29pm
    d