mutakhir

Saring pelancong masuk menerusi kapal persiaran

Oleh BERNAMA

PELANCONG yang memasuki Port Dickson melalui perkhidmatan kapal persiaran akan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan koronavirus baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Laut, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelancongan negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia untuk melaksanakan langkah itu.

“Pada bulan ini, kita ada cruise (yang akan berlabuh di Port Dickson) dan kita bersedia,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau dimaklumkan bilangan pelancong China tidak ramai dalam kapal persiaran itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan terdapat beberapa kapal persiaran dijangka berlabuh di Port Dickson iaitu pada 20 dan 27 Februari serta pada 5, 12 dan 26 Mac.

Dalam pada itu, kerajaan negeri Selangor bersedia mengaktifkan pusat kuarantin atau pusat isolasi di negeri berkenaan bagi membendung penularan jangkitan virus itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pembukaan pusat kuarantin itu dibincangkan sejak awal penularan virus terbabit di luar negara, memandangkan Selangor adalah pintu masuk utama pelancong antarabangsa termasuk dari China ke negara ini.

“Kerajaan negeri mengenal pasti beberapa tempat sesuai dijadikan pusat kuarantin dan kita bersedia membukanya pada bila-bila masa sekiranya diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama pimpinan serta usahawan anjuran Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia di Shah Alam.

Beliau mengulas mengenai situasi koronavirus di Selangor di sebalik pengesahan bahawa rakyat Malaysia pertama yang dijangkiti virus itu ialah seorang lelaki dari negeri berkenaan.

Lelaki itu dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura dari 16 hingga 23 Januari 2020 bagi menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri delegasi antarabangsa termasuk dari China.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 9:46pm
    d