mutakhir

Garis panduan majikan kendali koronavirus

Oleh BERNAMA

KEMENTERIAN Sumber Manusia mengeluarkan garis panduan buat majikan dalam mengendalikan isu berkaitan penyakit berjangkit termasuk wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Garis panduan itu dikeluarkan susulan kebimbangan dan persoalan serius yang diutarakan kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia terhadap pekerjaan yang berkaitan dengan jangkitan koronavirus.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, jabatan itu dihujani pelbagai soalan, yang menyuarakan rasa khuatir dengan pekerjaan berkaitan dengan virus kluster itu, sejak awal tahun ini.

“Persoalan lazim adalah mengenai majikan yang menghalang pekerja untuk datang bekerja, terutama apabila pekerja itu didapati baharu pulang dari negara dengan kes koronavirus seperti China, Thailand, Jepun, Hong Kong dan Singapura,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kula Segaran berkata, garis panduan itu menyenaraikan lima tindakan yang boleh diambil oleh majikan dalam menangani situasi itu.

Ia termasuk majkan disaran mengarahkan pekerja menjalani pemeriksaan segera, dengan perbelanjaan ditanggung majikan dan pemeriksaan dilakukan pengamal perubatan berdaftar atau pegawai perubatan yang ditetapkan mengikut Seksyen 60F Akta Pekerjaan 1955.

“Memberi cuti sakit berbayar atau kelayakan hospital semasa tempoh kuarantin kepada pekerja yang dikenakan perintah kuarantin oleh pengamal perubatan berdaftar, tidak kira sama ada pekerja dikuarantin di rumah atau di hospital.

“Majikan digalakkan untuk memberikan imbuhan tambahan kepada pekerja jika perintah kuarantin melebihi cuti sakit atau kemasukan ke hospital dan memberikan gaji penuh kepada pekerja yang mendapat perintah kuarantin daripada pengamal perubatan berdaftar dari negara dengan kes koronavirus kerana kewajipan rasmi atau arahan daripada majikan,” katanya.

Majikan juga tidak boleh menghalang mana-mana pekerja daripada datang bekerja jika tiada perintah kuarantin dikeluarkan oleh mana-mana pengamal perubatan berdaftar.

Bagaimanapun, mereka dibenar mengarahkan pekerja yang tidak sihat untuk tidak datang ke tempat kerja dengan menyediakan cuti sakit berbayar kepada pekerja.

Katanya, majikan tidak boleh mengarahkan pekerja, dengan apa cara sekalipun, untuk menggunakan kelayakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji semasa tempoh kuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 4:01pm
    d