mutakhir

'Henti sebar maklumat palsu koronavirus baharu'

Oleh Mohd Amin Jalil

ORANG ramai diminta tidak menyebarkan maklumat palsu berkaitan koronavirus baharu kerana ia boleh memberi kesan tidak baik dan menggugatkan ketenteraman awam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo berkata, orang ramai perlu sama-sama bertanggungjawab dalam membantu menangani wabak penyakit berkenaan dengan tidak menyebarkan maklumat palsu terutama menerusi laman sosial.

Beliau berkata, laman sosial adalah medium baharu dalam dunia berteknologi tinggi sekarang dan komunikasi melaluinya akan tetap berterusan setiap hari.

“Namun, apa yang membimbangkan adalah segelintir pihak didapati cuba mengambil kesempatan mengeluarkan berita tidak benar khususnya mengenai koronavirus.

“Tindakan itu akan beri kesan tidak baik dan mencemaskan rakyat ketika orang ramai berada dalam kebimbangan serta keresahan berikutan penularan wabak itu.

“Justeru, kami (KKMM) ambil langkah proaktif menerusi pelbagai pendekatan bagi mengurangkan atau mengelak berita palsu itu daripada terus menular di laman sosial.

“Kami sudah jelaskan bahawa kerajaan amat serius terhadap perkara ini (berita palsu) kerana ia boleh beri kesan tidak baik selain menggugat kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan risalah mengenai pelbagai insentif dilakukan kerajaan untuk kepentingan rakyat di Pasar Besar Seremban, hari ini.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Eddin Syazlee Shith dan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.

Gobind berkata, kerajaan bertindak tegas dan tidak akan bertolak ansur terhadap berita palsu disebarkan pihak tertentu.

Beliau berkata, kementeriannya melalui Jabatan Penerangan (JaPen) dan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sentiasa memastikan maklumat berkenaan kaedah pencegahan wabak itu disalurkan kepada masyarakat.

“Orang ramai seharusnya merujuk di yang disediakan KKMM iaitu Sebenarnya.my kerana portal itu adalah pusat sehenti bagi rakyat untuk menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi mana-mana berita diterima secara dalam talian khususnya laman sosial.

“Rakyat boleh mendapatkan maklumat mengenai koronavirus baharu secara terus menerusi portal berkenaan di bawah kategori Coronavirus 2019-nCov,” katanya.

Gobind berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menangani isu berita palsu.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu perkara negatif itu berleluasa dan polis akan bertindak mengikut undang-undang sedia ada terhadap berita palsu disebarkan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 4:49pm
    d