mutakhir

Koronavirus: Sekatan perjalanan pelancong China diperluas

Oleh BERNAMA

SEKATAN perjalanan ke Malaysia, yang kini dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, akan diperluaskan meliputi wilayah lain setelah dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) oleh kerajaan China.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan malam tadi berkata, langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

“Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di ‘lockdown’,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara.

Dr Wan Azizah berkata, kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan menambah bilangan mesin pengimbas suhu badan dan makmal untuk mempercepatkan keputusan sampel.

Beliau berkata, selain hospital kerajaan, Kementerian Kesihatan akan memperluaskan kemudahan menjalankan ujian pengesanan 2019-nCoV selain dari 18 makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), empat Makmal Kesihatan Awam di negeri dan 12 makmal hospital kerajaan seluruh negara kepada makmal swasta.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat khas mengenai jangkitan novel koronavirus di Putrajaya petang semalam berkata, Kementerian Luar juga sedang menyelaraskan 212 kakitangan dari Kedutaan/Konsulat Jeneral untuk balik ke Malaysia dengan segera.

“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan dibawa ke tempat pemeriksaan kesihatan untuk menjalani saringan kesihatan termasuk pengambilan sampel klinikal.

“Mereka yang mempunyai gejala akan terus dibawa ke hospital manakala yang tiada gejala akan dibenarkan pulang dan diletakkan di bawah pengawasan dan pemantauan untuk tempoh selama 14 hari.

“Mereka dikehendaki segera melaporkan diri ke klinik atau hospital berdekatan jika mempunyai gejala seperti batuk, selesema, demam, sesak nafas atau masalah kesihatan yang lain,” katanya.

Menurutnya, sehingga pukul 8.00 malam tadi, 10 orang (dua keluarga) kakitangan berkenaan daripada Guangzhou sudah tiba di KLIA dan dibawa ke tempat pemeriksaan kesihatan bagi menjalani saringan kesihatan.

Beliau berkata, mereka telah dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani proses pengawasan dan pemantauan.

Katanya, kerajaan juga sedia membantu 34 warga Malaysia di Wuhan yang tidak dapat kembali ke negara ini bersama 107 yang dibawa pulang pada 4 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa ini mereka tidak boleh keluar dari wilayah tersebut, berikutan sekatan keluar masuk yang dikenakan kerajaan China.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 8:54am
    d