mutakhir

Malaysia catat 15 kes koronavirus

Oleh Amir Abd Hamid

SATU lagi kes dikenal pasti koronavirus baharu (2019-nCoV) menjadikan jumlah keseluruhan positif wabak itu kepada 15 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia membabitkan tujuh dalam kalangan pengesanan yang disyaki (PUI), enam kontak rapat dan dua kes membabitkan rakyat Malaysia yang dibawa pulang daripada Misi Bantuan Kemanusiaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 11 kes adalah warganegara China dan empat rakyat tempatan.

“Bagi tempoh antara 10 Januari sehingga 10 pagi hari ini, jumlah kumulatif kes PUI jangkitan 2019-nCoV adalah 313 orang.

“Seramai 198 adalah rakyat Malaysia, 107 warganegara China dan masing-masing seorang warganegara Australia, Korea, Jordan, Brazil, Kanada, Bangladesh, Indonesia dan Thailand.

“Daripadanya, tujuh kes positif koronavirus, 297 adalah negatif dan sembilan kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya pada sidang media situasi terkini wabak koronavirus di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Dr Norhayati Rusli.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, sejumlah 19 kontak rapat baharu kepada kes 2019-nCoV dilaporkan bagi tempoh sama, menjadikan keseluruhannya 96 orang.

“Enam orang adalah positif, 74 orang adalah negatif dan 16 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 6:18pm
    d