mutakhir

Pas khas untuk pelancong China terkandas

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PELANCONG warga China yang mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapatkan penerbangan keluar dari negara ini akan diberikan pas khas selepas mendapat perakuan daripada Kedutaan China.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan sekatan perjalanan sudah dikenakan terhadap pelancong dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan, China ekoran penularan koronavirus baharu.

“Bagi pelancong yang berada dalam negara ini, visa mereka tidak akan dilanjutkan kecuali mempunyai masalah kesihatan atau gagal mendapat penerbangan keluar.

“Mereka (pelancong) mesti datang ke pejabat JIM bersama tiket penerbangan keluar dan mendapat perakuan daripada Kedutaan China untuk memohon pas khas berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi di sebuah pangsapuri di Ara Damansara, di Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Beliau berkata, tetapan itu mula berkuat kuasa sejak 27 Januari lalu.

“Mereka yang menerima pas khas akan diberi tempoh selama dua minggu atau 30 hari mengikut tarikh penerbangan keluar,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sekatan perjalanan ke Malaysia dikenakan ke atas pelawat China dari Wilayah Hubei termasuk Wuhan akan diperluaskan meliputi wilayah lain selepas dikenakan sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) oleh kerajaan China.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan memaklumkan langkah itu diputuskan setelah mengambil kira status semasa berhubung wabak koronavirus baharu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara memaklumkan JIM akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik sahaja kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah di ‘lockdown’.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 8:37am
    d