mutakhir

Sektor perhotelan, inap desa terjejas - TPM

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

SEKTOR perniagaan terutama perhotelan dan rumah inap tempatan dilihat agak terjejas berikutan penularan wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, setakat ini kerajaan tidak menerima sebarang aduan atau laporan rasmi berhubung impak wabak berkenaan terhadap sektor perniagaan tempatan.

Katanya, bagaimanapun didapati sektor terbabit bakal berdepan dengan kerugian.

“Memang kita dapati sektor perhotelan dan pelancongan agak terjejas, ini berikutan perintah sekatan dikenakan di beberapa negara.

“Selain itu, pengunjung tempatan didapati turut berkurangan berkemungkinan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kita mencatatkan penurunan dalam kadar kemasukan pengunjung, iaitu penyusutan daripada 230,000 orang kepada hanya 41,000 orang,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi terkini jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baharu di Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan akan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bagi mengekang impak penularan koronavirus.

Beliau berkata, tiada risiko kemelesetan berlaku terhadap Malaysia, namun apa yang diperlukan adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, kementerian akan mengadakan pertemuan dengan pihak terjejas akibat koronavirus dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan input daripada mereka.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 5:46pm
    d