mutakhir

Lagi cubaan seludup penutup mulut dan hidung

Oleh Abdul Rahemang Taiming

CUBAAN lelaki warga asing membawa masuk 6,000 penutup mulut dan hidung tanpa kebenaran gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Batu 3, Tawau, hari ini.

Ia kes kedua membabit produk sama selepas sejumlah 12,000 penutup mulut dan hidung dirampas pada 5 Februari lalu.

Malah taktik suspek warga Indonesia berumur 38 tahun itu menggunakan bot ikan gagal mengaburi pihak berkuasa.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohammad Pajeri Ali berkata, sepasukan anggota bot ronda PSC 6 yang sedang dalam tugas Operasi Gelora mengesan bot ikan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan sebelum ditahan untuk pemeriksaan 7.30 pagi.

“Pemeriksaan menemui tujuh kotak besar mengandungi 6,000 penutup mulut dan hidung buatan Indonesia disyaki cuba diseludup masuk dan dipasarkan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan lanjut mendapati juragan gagal mengemukakan dokumen atau surat kebenaran membawa masuk produk berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu didalangi sindiket yang mahu mengaut keuntungan mudah berikutan wabak koronavirus sehingga menyebabkan permintaan terhadap produk terbabit meningkat.

“Suspek ditahan mengikut Akta Kastam 1967 kerana kesalahan membawa masuk barang dari luar negara tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 8:19pm
    d