mutakhir

Koronavirus: Nenek warga Malaysia jangkitan ke-17

Oleh Amir Abd Hamid

WANITA warganegara Malaysia berumur 65 tahun disahkan positif koronavirus baharu, hari ini dan ia adalah kes kelima membabitkan warga tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan satu kes lagi ke pusat Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu menjadikan 17 kes positif dilaporkan setakat ini dan 12 daripadanya warga China.

“Kes baharu ini adalah seorang wanita warganegara Malaysia berumur 65 tahun.

“Dia adalah ibu mentua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari lalu (iaitu kes kesembilan).

“Wanita terbabit mempunyai beberapa penyakit kronik sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung (pacemaker) serta alami pergerakan terhad,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu mempunyai kontak langsung dengan kes indeks kesembilan semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama ahli keluarga lain pada 26, 27 dan 28 Januari lalu.

Menurutnya, sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari, wanita itu memaklumkan hanya berada di rumah.

“Pada 5 Februari, beliau mengadu kurang sihat iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya, tetapi tiada demam.

“Dia seterusnya dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di satu hospital swasta.

“Sejurus selepas itu, dia dibenarkan pulang ke rumah dengan temujanji susulan pada 7 Februari,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebaik sahaja menantu wanita berkenaan iaitu kes indeks kesembilan dikesan positif 2019-nCoV, dia dijejaki Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, wanita itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.

“Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel diambil daripada wanita itu dan ahli keluarga yang lain.

“Ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya dilaporkan positif pada 8 Februari, manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif.

“Wanita itu dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 4:23pm
    d