mutakhir

Kempen cegah koronavirus di kawasan pelancongan

Oleh BERNAMA

KERAJAAN negeri Melaka melalui Jabatan Kesihatan negeri giat mengadakan kempen pencegahan awal jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) di kawasan pelancongan, bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap jangkitan virus itu.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Low Chee Leong berkata, kempen bermula semalam itu mula digerakkan di kawasan sekitar Jonker Walk dan bangunan Stadthuys di Bandar Hilir, sebelum diperluaskan ke kawasan tumpuan pelancong lain.

Beliau berkata, menerusi kempen itu, 10,000 risalah berkaitan langkah pencegahan awal seperti aspek kebersihan diri termasuk mencuci tangan dengan betul dan kerap serta memakai topeng penutup mulut dan hidung diedarkan kepada orang awam.

“Melaka antara destinasi pelancongan bagi pelancong tempatan dan luar negara, manakala koronavirus baharu adalah isu global dan ia menjadi salah satu inisiatif perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran terhadap wabak itu.

“Walaupun Melaka belum ada kes direkodkan, langkah pencegahan terhadap penularan jangkitan itu perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kemakmuran Bersama - Kongsi Kasih Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Melaka, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew serta Datuk Bandar MBMB, Datuk Mansor Sudin menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM80,000 kepada 1,000 penerima di bawah pentadbiran MBMB.

Low berkata, Jabatan Kesihatan akan bertemu pemain industri pelancongan di Melaka terutama sektor perhotelan dan pengusaha bas persiaran bagi memberi taklimat berhubung langkah pencegahan awal dan persediaan boleh dilakukan bagi menghindari jangkitan koronavirus.

Beliau berkata, pihak berkenaan digalakkan menyediakan penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan di premis dan kenderaan awam bagi kegunaan pelancong yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Kita mohon pihak industri pelancongan dapat membantu melaksanakan usaha pencegahan awal virus ini...tiada paksaan, tetapi ia sebagai sebahagian tanggungjawab boleh dilakukan, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 9:01pm
    d