mutakhir

Koronavirus: 19 kakitangan kesihatan diperiksa

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengenal pasti 22 kontak rapat kepada individu ke-18 yang didapati positif koronavirus baharu (2019-nCoV).

Individu terbabit termasuklah 19 anggota kesihatan dan tiga ahli keluarga lelaki tempatan berusia 31 tahun itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengesanan kontak rapat itu adalah aktiviti pencegahan dan kawalan yang dijalankan bagi memastikan penularan penyakit berjangkit dapat dibendung.

"Kontak rapat yang dikesan itu adalah dalam kalangan mereka yang berhubung rapat dengan kes disahkan positif.

"Ini terdiri individu yang mempunyai kontak rapat dalam lingkungan satu meter dengan pesakit kes positif koronavirus seperti anggota kesihatan yang merawat kes tanpa memakai personal protective equipment (PPE) seperti disarankan.

"Selain itu, kontak yang tinggal dalam rumah sama. Ibu, adik dan sepupu kes ke-18 sudah diambil calitan tekak manakala 19 anggota kesihatan terbabit juga dalam proses," katanya ketika sidang media KKM mengenai situasi terkini jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baru di Putrajaya hari ini.

Pagi hari ini, KKM mengesahkan seorang lagi lelaki tempatan berusia 31 tahun disahkan positif koronavirus baharu.

Kes terbaru itu menjadikan kes positif membabitkan rakyat Malaysia setakat ini adalah enam kes manakala warga China 12 kes.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 4:23pm
    d