mutakhir

18 kes positif Koronavirus namun 3 sudah pulih

Oleh Amir Abd Hamid

JUMLAH kumulatif kes positif koronavirus baharu (2019-nCoV) yang dilaporkan sehingga hari ini adalah sebanyak 18 kes.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, lapan kes daripadanya adalah kalangan Patient-Under-Investigation (PUI).

Katanya, lapan kes lagi adalah dalam kalangan kontak rapat dan dua kes rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

"Daripada jumlah itu, 12 kes adalah warganegara China dan enam warganegara Malaysia.

"Daripada 12 kes membabitkan warga China itu, sebanyak tiga kes mangsa disahkan sudah dan dibenarkan pulang.

"Bagi tiga kes yang disahkan pulih, mereka sudah menjalani ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut," katanya dalam sidang media KKM berhubung situasi terkini jangkitan 2019-nCoV dan pengesanan kes baharu di Malaysia, di Putrajaya tadi.

Menurutnya, KKM menasihatkan semua warganya untuk lebih peka kepada situasi semasa berkaitan 2019-nCoV bagi memperkukuhkan kesiapsiagaan dan respon terhadap penyakit ini.

"Orang awam juga dinasihatkan, sekiranya bergejala dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari lawatan ke China untuk maklumkan sejarah perjalanan anda kepada pengamal perubatan yang menjalankan pemeriksaan.

"KKM juga menyeru orang ramai sekiranya memerlukan penerangan mengenai penyakit ini atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit, hubungilah hotline di CPRC Kebangsaan di talian 03 88810200/ 03 88810600/ 03 88810700 atau emel: cprc@moh.gov.my," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 5:20pm
    d