mutakhir

'Semangatnya kuat, tak minta tukar'

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

KEJADIAN rumah pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Tumpat dibaling bom petrol awal pagi semalam tidak melemahkan semangat mangsa untuk terus berkhidmat membanteras jenayah.

Pengarah JKDM Kelantan Mohd Rakbi Mat Saud berkata, beliau sudah bertemu dengan mangsa untuk memberi sokongan.

“Alhamdulillah pegawai saya sangat kuat dan saya melihat apa yang berlaku tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat membanteras jenayah.

“Melalui pertemuan semalam, pegawai saya memaklumkan semangatnya bertambah kuat walaupun keselamatannya dan keluarga diancam selain tidak meminta untuk ditukarkan ke unit lain.

“Justeru, saya berharap dalang di sebalik kejadian ini dapat ditangkap secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 2.45 pagi semalam di Kampung Perupok itu, rumah pegawai berkenaan yang dibaling bom petrol terbakar 90 peratus garaj kereta dan memusnahkan dua buah kereta.

Ketika kejadian, mangsa yang bertugas di Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Kota Bharu tiada di rumah dan terdapat enam beranak dalam rumah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dipetik berkata, polis tidak menolak kemungkinan serangan itu ada kaitan dengan rampasan ketum.

Mengulas lanjut, Mohd Rakbi berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.

“Memang minggu lalu kita ada merampas ketum sebanyak dua tan di Pasir Mas tetapi saya tidak tahu sama ada kejadian ini mempunyai hubung kait dengan kes berkenaan.

“Ini ancaman kedua terbesar bagi JKDM Kelantan selepas pegawai kami, Anisa Ali yang maut dilanggar tonto pada 2016,” katanya.

Berita berkaitan

Rampas ketum punca serangan [METROTV]

Terbakar angkara khianat?

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 11:47am
d