mutakhir

Mana ada lengang...

Oleh Redzuan Muharam

MESKIPUN maklum mengenai wabak koronavirus baharu, orang ramai masih meneruskan aktiviti harian seperti biasa termasuk mengunjungi pusat beli belah di sekitar ibu kota.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan restoran dan premis di pusat beli belah Mid Valley, di sini tidak lengang sebaliknya masih dikunjungi orang ramai dan jumlah itu bertambah ketika waktu makan tengah hari.

Sebahagian pengunjung dilihat mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup mulut dan hidung manakala ada juga tidak menggunakan alat perlindungan itu.

Pengunjung, Abdul Hamid Suhani, 54 berkata, kebimbangan terhadap wabak itu masih ada tetapi dia tiada pilihan dan perlu ke situ kerana mempunyai urusan untuk diselesaikan.

“Memang bimbang tetapi saya ambil langkah berjaga-jaga dengan memakai penutup mulut dan hidung sepanjang masa ketika berada di dalam pusat beli belah.

“Saya juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan mengenai wabak itu dengan membaca berita di akhbar dan portal bagi mendapatkan maklumat yang lebih sahih,” katanya yang menetap di Klang, Selangor.

Pekerja kiosk donat, Alya Batrisyia Rosli, 19 berkata, berita palsu mengenai penularan wabak koronavirus baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan dari segi kehadiran pengunjung pusat beli belah itu.

“Selepas tersebarnya berita palsu itu pada Jumaat lalu, pengunjung yang hadir ke sini berkurangan pada keesokan harinya (Sabtu) sedangkan pusat beli belah ini selalunya sesak pada hujung minggu.

“Namun, keadaan semakin baik selepas pihak pengurusan mengeluarkan notis penafian tetapi jumlah pelanggan yang datang tidak seperti dulu,” katanya yang bekerja di pusat beli belah itu sejak tujuh bulan lalu.

Seorang lagi pekerja, Aiman Zareef Zulkifli, 18 berkata pengunjung semakin berkurangan sejak tersiarnya berita mengenai wabak koronavirus baharu.

“Nampak ramai tetapi sudah berkurang sebenarnya pengunjung yang datang ke sini berbanding sebelum ini.

“Jika dulu, hari biasa saja sudah ramai lebih-lebih lagi pada waktu makan tengahari. Itu belum lagi pada hujung minggu tetapi kini tidak lagi tetapi tidaklah sampai tiada pengunjung langsung,” katanya.

Manakala, pekerja kedai aksesori telefon bimbit, Raquel,25 berkata, kehadiran pelanggan ke kedainya berkurangan dalam tempoh seminggu selepas tersebarnya berita mengenai wabak koronavirus baharu.

“Hampir seminggu juga tiada pelanggan ketika itu tetapi kini keadaan kembali seperti biasa. Saya harap keadaan bertambah baik selepas ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 8:02pm
    d