mutakhir

Jenazah mangsa tetak dituntut keluarga

Oleh Rosli Ilham

JENAZAH mangsa tetak di kawasan ladang sawit di Kampung Beril Paka dekat sini, pagi tadi sudah dituntut ahli keluarganya pada malam ini.

Keluarga Mohd Zukanain Abd Aziz menuntut jenazahnya pada 9.15 malam dengan siap dikafankan di Bilik Forensik Hospital Dungun sebelum dibawa menaiki kenderaan untuk dibawa ke masjid Kampung Santong, Paka untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran.

Terdahulu, mayatnya menjalani bedah siasat yang dikendalikan pakar bedah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu hampir tiga jam.

Sementara itu, isteri mangsa, Rosnah Muhamed, 39, berkata, dia berterima kasih kepada pakar perubatan, polis dan semua pihak yang membantu sehingga jenazah suaminya dapat dituntut dengan segera.

“Selepas selesai jenazah suami dikebumikan, saya akan pulang berehat, saya sangat letih kerana sudah lebih 20 jam saya tidak tidur.

“Tambahan pula tangan ini yang masih sakit selepas menerima sebanyak 30 jahitan dan saya nak berehat letih sangat, “katanya.

Menurutnya, dia kini perlu memikirkan bagaimana untuk mencari pendapatan bagi menyara dirinya serta lima anak yang masih kecil.

“Kehidupan, makan minum saya dan anak-anak bergantung kepada pendapatan suami yang tidak seberapa dan saya perlu mencari kerja untuk menyara anak-anak.

“Saya berharap supaya suspek yang menetak suami menerima hukuman sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang, “katanya.

Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi tadi, mangsa maut ditetak di lehernya sebelum disahkan meninggal di Klinik Kesihatan Paka pada 3.30 pagi.

Rosnah yang turut ditetak terselamat dan cedera di kedua-dua belah tangannya akibat menahan tetakan suspek.

Lelaki warga Indonesia berusia 29 tahun yang menyembunyikan diri di sekitar ladang terbabit berjaya ditahan polis pada 9 pagi.

Berita berkaitan

Pandu sambil tekup luka tetakan

[UPDATE] Suspek tetak suami isteri ditahan

Suami maut ditetak, isteri cedera

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 10:17pm
d