mutakhir

Tak perlu risau kemasukan kapal persiaran - Anthony

Oleh Ruwaida Md Zain

RAKYAT tidak perlu khuatir dengan kemasukan pelancong asing melalui pelabuhan berikutan terdapat dua saringan kesihatan yang dilakukan ke atas semua pelancong susulan penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, rakyat tidak perlu panik dan takut walaupun kerajaan masih membenarkan kapal persiaran masuk ke negara ini.

“Bagi prosedur kapal, sebelum masuk, senarai lengkap penumpang sudah diberikan kepada pihak berkuasa iaitu operator dan lembaga pelabuhan, jadi kita tahu maklumat setiap kapal.

“Dalam prosedur atau kapal juga, kesihatan mereka sudah pun diperiksa sebelum turun, jika ada simptom sakit atau demam, mereka akan dikuarantin di atas kapal dan tidak akan dibenarkan masuk.

“Kita juga ada pemeriksaan kedua, iaitu pengimbas suhu, jika suhu pelancong meningkat mereka tidak boleh masuk kerana hanya mereka yang sihat dan tiada sebarang simptom sahaja dibenarkan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tempat saringan kesihatan di Boustead Cruise Center di Pelabuhan Klang, hari ini.

Anthony berkata, kerajaan mengambil langkah itu sebagai satu pendekatan seimbang kerana tidak mahu satu keadaan panik dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Dasar atau keputusan ketika ini, kita masih membenarkan kapal persiaran ini berlabuh kerana kita mesti memastikan industri pelancongan terus berjalan dan tidak terjejas teruk.

“Walaupun memang ada kesan yang sangat negatif kerana pelancong masuk tetapi kita hendak meyakinkan orang ramai bahawa segala prosedur kesihatan dijalankan sebelum pelancong ini dibenarkan mendapat dan masuk ke negara kita.

“Sebab itu kita tidak ambil langkah larang semua kapal. Kalau kita ambil langkah itu, ia akan memberikan kesan amat buruk kepada ekonomi dan industri pelancongan negara,” katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan itu dibuat tidak bermakna kerajaan mengambil mudah isu kesihatan dan akan sentiasa memastikan langkah kesihatan diambil.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke terminal itu untuk melihat sendiri prosedur pemeriksaan suhu badan iaitu satu prosedur wajib dikendalikan semua pintu masuk di negara kita.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 1:39pm
    d