mutakhir

Kementerian sanggup beli topeng hidung mulut

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

PENGELUAR topeng hidung dan mulut tempatan bersetuju untuk meningkatkan pengeluaran bagi menampung permintaan tinggi orang ramai susulan wabak Covid-19.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perjumpaannya dengan beberapa pengeluar produk berkenaan turut mengenal pasti jumlah topeng diperlukan bagi memastikan tidak berlaku kekurangan topeng hidung dan mulut.

Katanya, pihaknya sudah bersedia untuk membeli kesemua topeng hidung dan mulut yang dikeluarkan oleh pengeluar tempatan sebaik sahaja mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

"Mereka (pengeluar) sudah menyatakan persetujuan (untuk meningkatkan pengeluaran), saya juga sudah laporkan mengenai perkara ini kepada kabinet serta Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) selaku Pengerusi NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara).

"Kita harus yakin dengan keupayaan mereka (pengeluar), sebahagian daripada mereka sudah mempunyai stok sedia ada sebanyak 400,000 keping dan ada juga dari mereka mampu menghasilkan sebanyak 200,000 keping setiap hari.

"Selain itu, ada juga pengeluar yang mengatakan mereka hanya mampu menghasilkan sebanyak 100,000 keping dalam tempoh seminggu. Kami bersedia untuk membantu mereka, apa sahaja (jumlah) yang mereka ada kita akan beli. Saya fikir, masalah ini dapat diatasi tidak lama lagi," katanya selepas menghadiri Sesi Dialog Bersama Industri Mengenai Impak COVID-19, di kementeriannya, di Putrajaya, hari ini.

Tambah Saifuddin, pihaknya mahu mengelakkan terjadinya pembelian panik oleh masyarakat atas sebab itu kerajaan sedaya upaya untuk menambahkan jumlah pengeluaran topeng hidung dan mulut.

"Saya mahu menyatakan bahawa bekalan topeng hidung dan mulut itu ada, kerajaan sedang berunding dengan pengeluar untuk pastikan mereka tambah jumlah pengeluaran.

"Kita mahu elakkan masyarakat untuk membuat pembelian panik iaitu membeli satu-satu produk dalam jumlah yang banyak, kita mahu elakkan perkara berkenaan dari berlaku," katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan Saifuddin memberi jaminan kerajaan akan membeli lebihan topeng muka dan hidung bagi memenuhi keperluan mencegah Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 5:14pm
    d