mutakhir

Kekang berita palsu habis-habisan

Oleh Amir Mamat

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKM) mahu agensi di bawahnya menjadi medium utama kepada usaha mengekang penularan berita palsu secara habis-habisan, khususnya isu membabitkan ketenteraman awam.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, usaha itu termasuk menyalurkan maklumat tepat menerusi penganjuran beberapa program termasuk Info On Wheel (IOW) yang rancak dilaksanakan ketika ini.

Beliau berkata, melalui IOW, pelbagai isu dan maklumat terkini dapat disampaikan secara tepat dan terus kepada rakyat.

“Buat masa ini, IOW menumpukan kepada hebahan lapan inisiatif dilaksanakan kerajaan iaitu Skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (MySalam), Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), Skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri), Bantuan Sara Hidup (BSH), Program e-Tunai Rakyat (e-Tunai), Teknologi Generasi Kelima (5G), wabak coronovirus (Covid-19) dan pengurangan tol.

“Kami ingin menyalurkan maklumat benar berkenaan seperti isu Covid-19 yang sedang hangat di seluruh dunia dan lihat bagaimana kerajaan Malaysia sudah mengambil langkah tegas sejak permulaan masalah itu tercetus.

“Kami memberi penekanan untuk memastikan maklumat disalurkan kepada masyarakat tepat dan benar, justeru, kami perlu elak daripada berkongsi benda yang belum pasti sumbernya untuk mengelakkan lebih kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra sempena IOW serta merasmikan Kaunter Tiket Layan Diri di Melaka Sentral, Melaka, hari ini.

Hadir sama, EXCO Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee; EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Program IOW bermula sejak 23 Januari lalu dengan hebahan mengenai inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selain penularan wabak Covid-19.

Hebahan itu dijalankan secara berterusan untuk menerangkan dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 5:27pm
    d