mutakhir

12 pelajar diikat jamin hari ini [METROTV]

Oleh Siti Rohana

SEMUA 12 pelajar yang terbabit dalam kes memukul pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di daerah Pasir Mas, 9 Februari lalu diikat jamin hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Mereka semua diikat jamin hari ini selepas ditahan pada 13 Februari lalu.

“Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sama ada untuk pertuduhan atau lain-lain tindakan yang sesuai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, polis menahan sekumpulan 12 pelajar bagi membantu siasatan pelajar lelaki berusia 15 tahun yang lebam di muka dan badan selepas dipukul, dipercayai bermotifkan cemburu pada jam 6 petang, 9 Februari lalu.

Mangsa dipercayai dipukul di dalam kelas selepas menjalani aktiviti sukan di sekolahnya dan video mengenainya tular di media sosial.

Abdullah terdahulu merasmikan majlis penyerahan watikah pelantikan perdana Majlis Kepimpinan Murid (MKM) sesi 2020 di Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3, Kota Bharu.

Dalam majlis itu, seramai 507 pemimpin sekolah yang terdiri daripada Ketua dan Penolong Kelas, Pengawas Pusat Sumber, Pemimpin Rakan Sebaya, Pengawas Sekolah dan Exco Tertinggi menerima watikah perlantikan masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Abdullah menasihati ibu bapa agar mengawasi dan memantau pergerakan anak agar tidak berkelakuan di luar kawalan bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk.

“Kebelakangan ini memang agak kerap kita menerima video tular pergaduhan atau kes buli membabitkan pelajar sama ada dalam negara atau luar.

“Apabila ditularkan, sudah pasti keluarga mangsa akan membuat laporan polis dan kami terpaksa menjalankan tindakan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

Kes belasah pelajar, 12 ditahan

Gocoh pasal gewe...?

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 3:17pm
d