mutakhir

Covid-19: Malaysia Airlines batal tempahan pesawat khas

Oleh Amir Abd Hamid

MALAYSIA Airlines Berhad (Malaysia Airlines) membatalkan baki tiga penerbangan sewa khas membawa keluar penumpang kapal persiaran MS Westerdam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Timbalan Perdana Menteri memberi reaksi itu susulan seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS), penumpang kapal persiaran berkenaan yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lalu, disahkan positif wabak koronavirus 2019 (Covid-19) malam tadi selepas memasuki negara ini, kelmarin.

Wanita itu seorang daripada 145 penumpang kapal persiaran terbabit yang dibawa masuk ke negara ini melalui penerbangan sewa khas kelmarin, selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Kemboja.

Wan Azizah berkata, sebelum ini Syarikat Kapal Persiaran Holland American Line menyewa pesawat khas Malaysia Airlines untuk membawa sebahagian daripada penumpang kapal persiaran itu ke pelbagai destinasi akhir mereka melalui transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, mengikut perancangan, Malaysia Airlines akan menyediakan empat penerbangan sewa khas bermula pada kelmarin hingga hari ini.

Katanya, setakat ini, hanya satu penerbangan sewa khas yang membawa 145 penumpang mendarat di KLIA, 7 petang, kelmarin.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memaklumkan kepada Malaysia Airlines berkenaan kes positif hasil daripada ujian yang dijalankan.

“Sehubungan itu, penumpang lain pesawat itu dianggap kontak rapat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi berhubung Penyakit Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, berdasarkan kepada keputusan itu, Malaysia Airlines sudah membatalkan baki penerbangan sewa khas ditempah Syarikat Kapal Persiaran Holland American Line itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 5:27pm
    d