mutakhir

Covid-19: Seorang lagi pesakit sembuh

Oleh Amir Abd Hamid

SEORANG lagi pesakit wabak koronavirus 2019 (Covid-19) pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital.

Perkembangan terbaru membabitkan pesakit di Hospital Permai, Johor itu menjadikan lapan pesakit Covid-19 dirawat di hospital negara sudah sembuh daripada virus itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pesakit wanita warga China itu disahkan sembuh dan dibenarkan pulang semalam.

“Kes ini adalah kes ke-15 iaitu seorang wanita warga China yang sebelum ini dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru.

“Seterusnya tiada kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes Covid-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang dan jumlah kes yang sudah discharge (dibenarkan keluar) adalah seramai lapan orang.

“Bagi lapan kes yang discharge, mereka sudah pun menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi berhubung Penyakit Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama dalam mesyuarat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Pengarah Kesihatan; Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Nadma; Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, kerajaan tidak dimaklumkan pengurusan Universiti Malaya (UM) bahawa universiti itu menggunakan sukarelawan dalam kalangan penuntutnya untuk mengendalikan pelajar antarabangsa dari China.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 9:36pm
    d