mutakhir

Sarawak bantu China tangani Covid-19

Oleh Melvin Joni

KERAJAAN Sarawak akan membantu China dalam menangani wabak Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, ia sebagai penghargaan di atas sumbangan China kepada Sarawak dan masyarakat dunia.

“Saya akan bawa ke Kabinet untuk bincang bagaimana kami boleh membantu China dalam isu ini dan berharap epidemik ini akan berakhir tidak lama lagi” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam Sambutan Ulang Tahun Ke-41 dan makan malam Tahun Baru Cina Persekutuan Persatuan Cina Kuching, Samarahan dan Serian di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata ekonomi Sarawak tidak banyak terjejas oleh wabak Covid-19 kerana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak tidak terlalu bergantung kepada pelancongan terutama dari China.

Sebaliknya beliau berkata, sumber ekonomi Sarawak adalah menerusi pembangunan infrastruktur dan kerajaan negeri menyuntik berbilion ringgit bagi melaksanakannya.

“Dengan kata lain, kita tidak begitu terjejas oleh virus ini jika dari sektor pelancongan dan saya meramalkan pertumbuhan KDNK kita adalah 5 hingga 6 peratus pada tahun ini,” katanya.

Sementara, Konsul China di Kuching Cheng Guangzhong berkata, pihaknya amat berterima kasih kerana mendapat sokongan yang menggalakkan dan luar biasa dari Sarawak dalam membantu mereka menangani wabak Covid-19.

“Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian adalah penderma pertama yang datang ke konsulat kami, bersama dengan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak Datuk Richard Wee dan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Cina, Kuching, DatukTan Jit Kee untuk menyumbangkan sarung tangan pembedahan dan sumber kewangan kepada China,” katanya menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Konsul China di Kuching Zhang Yang.

Sempena majlis, Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM107,500 kepada Zhang Yang.

Hasil kutipan dana daripada pelbagai pertubuhan dan persatuan di Kuching itu adalah untuk membantu kerajaan China menangani wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 1:34pm
    d