mutakhir

'Shahnol Sundara' masih diburu

Oleh Amir Mamat

POLIS masih memburu pemilik akaun Facebook (FB) menggunakan nama ‘Shahnol Sundara’ kerana menyebarkan berita palsu mengenai penyakit Covid-19, awal bulan ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara itu.

“Kes penyebaran berita palsu itu masih dalam siasatan, segala maklumat sudah dihantar kepada SKMM dan polis masih menunggu maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Setakat ini polis masih belum memanggil atau menahan mana-mana pihak berhubung kes terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom Ke Sekolah bersama Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohamad Azam Ahmad di Sekolah Menengah Kebangsaan Gajah Berang, di Melaka, hari ini.

Berita palsu mengenai penyakit Covid-19 ditularkan pemilik akaun FB menggunakan nama ‘Shahnol Sundara’ itu pada pada 5 Februari lalu yang memuat naik sebuah video berdurasi satu minit tiga saat di laman sosial berkenaan.

Individu berkenaan memuat naik video dengan mendakwa sebuah kapal dagang dari Wuhan yang membawa beberapa anak kapal bersauh di Pelabuhan Kuala Linggi, Alor Gajah, di sini.

Individu itu turut berkongsi, kononnya semua kru kapal disaring pasukan paramedik selepas dikatakan baru tiba dari Wuhan sebelum memadam entri berkenaan kira-kira 15 minit kemudian.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismail Ali, kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Durian Tunggal pada 6 Februari lalu.

Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penularan kenyataan tidak bertanggungjawab itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 1:58pm
    d