mutakhir

Kita jangan selesa, Singapura masih gawat [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati petugasnya dan masyarakat tidak terlalu selesa selepas kejayaan menyembuhkan ramai pesakit Covid-19 di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, negara jiran iaitu Singapura sedang mengalami keadaan agak gawat.

Beliau berkata, beberapa persoalan akan dibincangkan lagi dengan negara seberang tambak Johor itu termasuk saringan keluar masuk antara kedua-dua belah negara.

"Kita jangan mudah selesa (situasi semasa Covid-19 di Malaysia). Sebab di seberang tambak Johor iaitu Singapura sedang mengalami sedikit gawat dengan doktor mereka berhadapan situasi peringkat jingga.

"Kita terus mengingatkan kepada rakyat supaya kekal dengan amalan kebersihan yang baik," katanya dalam sidang media situasi terkini jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Hampir separuh iaitu daripada 22 kes positif Covid-19 dilaporkan di negara ini, sembilan orang masuk ke Malaysia melalui Singapura.

Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) Singapura pada 7 Februari lalu dinaikkan dari tahap kuning ke jingga bagi membendung penularan Covid-19.

Ia dilaksana berikutan penemuan beberapa kes virus itu membabitkan mangsa yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Singapura Gan Kim Yong, dipetik berkata, semua sekolah diarah menghentikan semua kegiatan luar sehingga cuti hujung Mac ini.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, dua lagi kes yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini.

"Sehubungan itu, jumlah kes (pesakit) pulih sepenuhnya dan ‘discharge’ sehingga hari ini ialah 15 kes.

"KKM juga ingin memaklumkan bahawa tiada kes baru dilaporkan pada hari ini dan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia setakat ini kekal 22," katanya.

Menurutnya, tujuh pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital iaitu dua di Hospital Sultanah Bahiyah, seorang di Hospital Sultanah Maliha, tiga di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan seorang di Hospital Sungai Buloh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 4:52pm
    d