mutakhir

Lega bebas Covid-19

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

“SEJUJURNYA saya sudah mula ‘rindu’ suasana di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai kerana menjalani rutin harian yang sama selama dua minggu di sana,” kata Reen, seorang daripada rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China, 4 Februari lalu.

Reen, 27, berkata, sepanjang tempoh kuarantin, dia dan penghuni lain akademi itu digalakkan untuk tidak keluar dari bilik masing-masing kerana dikhuatiri akan berlakunya jangkitan baru dan hanya menghabiskan masa dengan membaca, melayari laman sosial dan menonton filem atas talian.

Menurutnya, layanan diberikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan agensi lain adalah terbaik demi menjaga kebajikan dan kesihatan penghuni di AKEPT.

“Saya kagum dengan kesungguhan semua kakitangan agensi yang terbabit kerana memastikan kebajikan kami terjaga bukan saja daripada segi makanan malah lebih penting kesihatan berada pada tahap yang terbaik.

“Doktor juga akan datang untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan setiap hari. Kami juga dibekalkan vitamin, pencuci basmi kuman dan penutup hidung dan mulut agar kesihatan berada pada tahap yang terbaik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, seramai 102 rakyat Malaysia dikuarantin di AKEPT dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, Selasa lalu selepas tempoh kuarantin selama 14 hari tamat.

Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang melancong, bekerja dan melanjutkan pengajian di China dibawa pulang menggunakan pesawat khas selepas penularan wabak berkenaan semakin kritikal dan sudah mengorbankan 2,118 orang selain menjangkiti 74,576 individu lain sehingga kini.

Reen yang kini berada di Johor Bahru berkata, suaminya yang berada di Xiangyang masih perlu berada rumah ekoran perlaksanaan arahan kerajaan republik itu yang tidak membenarkan rakyat di wilayah terjejas menjalani aktiviti harian.

Katanya, menerusi perbualan telefon dengan suaminya yang juga warga China, stok makanan dan ubatan semakin terhad kerana aktiviti harian masih tidak dapat dilakukan sehingga kini.

“Ada pasar raya yang hadkan kepada tiga keluarga untuk membeli bekalan makanan sehari selain banyak premis perniagaan yang tidak dapat beroperasi kerana kehabisan stok.

“Mujur keluarga suami ada menanam sayuran di kawasan rumah dan ia boleh dijadikan sumber makanan buat sementara waktu.

“Namun saya harap bekalan makanan dapat disalurkan ke kawasan terjejas dan membantu penduduk yang terpaksa ‘berkurung’ di rumah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 3:35pm
    d