mutakhir

Covid-19: Hanya lima dirawat seluruh negara

Oleh Amir Abd Hamid

HANYA tinggal lima pesakit koronavirus baharu (Covid-19) masih dirawat di hospital di seluruh negara susulan dua lagi sembuh dan dibenarkan pulang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dua pesakit yang sembuh itu dibenarkan pulang ke rumah lewat petang semalam.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, pesakit terbaru sembuh ialah kes ke-20 iaitu seorang lelaki warga China berusia 27 tahun yang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Kedah selepas disahkan positif pada 14 Februari lalu.

“Manakala seorang lagi yang sembuh serta dibenarkan ‘discharge’ membabitkan kes ke-21 iaitu wanita warga China berumur 32 tahun selepas disahkan positif (Covid-19) pada 14 Februari lalu dan dirawat di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Sehubungan itu, jumlah kes pulih sepenuhnya dan ‘discharge’ sehingga hari ini ialah 17 pesakit. Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan bahawa tiada kes baharu dilaporkan sekali gus jumlah kumulatif kes positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia hingga hari ini kekal 22,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan perasmian program Inisiatif Kesihatan Mental Universiti Malaya (UM), di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor UM (Penyelidikan dan Inovasi) Professor Dr Noorsaadah Abdul Rahman.

Dr Dzulkefly berkata, semua lima kes yang masih dirawat adalah dalam keadaan stabil iaitu tiga di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang di HSB dan seorang lagi dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Dalam perkembangan sama, katanya, KKM dimaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Jepun berhubung perkembangan terkini rakyat Malaysia yang berada di atas kapal persiaran Diamond Princess di Jepun.

“Empat rakyat Malaysia membabitkan tiga penumpang dan seorang kru. Kapal persiaran ini sudah menjalani kuarantin (kapal) bermula 4 Februari lalu di pelabuhan di Jepun.

“Selepas ujian pengesanan Covid-19 mengesahkan dua daripada tiga penumpang rakyat Malaysia ini dijangkiti virus. Mereka yang didapati positif adalah pasangan suami isteri berusia 71 dan 66 tahun.

“Disahkan positif 16 Februari lalu dan mereka berada dalam keadaan stabil. Mereka kini berada di Hospital Fujita di Nagoya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, seorang lagi penumpang Malaysia iaitu wanita berusia 61 tahun disahkan negatif daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang ke negara ini oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun selepas menjalani kuarantin selama 14 hari.

Katanya, seorang lagi warga Malaysia iaitu lelaki berusia 45 tahun yang juga seorang daripada kru kapal persiaran itu masih dalam pemantauan di dalam kapal oleh pihak berkuasa kesihatan Jepun.

Sementara itu, mengenai ujian pengesanan Covid-19 terhadap individu berada dalam kapal persiaran MV Genting Dream yang berlabuh di Boustead Cruise Centre (BCC), Pelabuhan Klang kira-kira jam 12 tengah hari tadi, didapati negatif virus itu.

“Kapal itu tiba dari Singapura dan akan pulang semula jam 11 malam ini. Setibanya di Pelabuhan Klang, KKM sudah melakukan saringan kesihatan ke atas penumpang dan kru kapal itu.

“Sehingga jam 3 petang tadi, seramai 350 penumpang dan 230 kru kapal sudah disaring. Hasil saringan setakat ini tiada penumpang atau kru kapal yang bergejala.

“Mana-mana penumpang atau kru kapal yang didapati bergejala akan diletakkan di bawah kuarantin di Pusat Kuarantin BCC untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Untuk rekod, Kapal MV Genting Dream membawa 987 penumpang dan 1,701 kru.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 5:42pm
    d