mutakhir

Buru individu sebar berita palsu [METROTV]

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

KERAJAAN bertegas memburu individu yang menyebarkan berita tidak benar sekali gus mengheret mereka ke mahkamah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin berkata, kerajaan sudah lama berdiam diri dalam hal berkenaan namun kini sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Kerajaan bersedia untuk dikritik, kritik lah sepedas mana pun kami akan terima dan tiada tindakan akan diambil kerana kami mengamalkan demokrasi. Kita hanya ambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Malangnya, sejak kebelakangan ini ada individu yang menggunakan kebebasan diberikan dengan menyebarkan berita palsu, fitnah, berita yang boleh timbulkan isu perkauman, agama serta keresahan pada rakyat. Selama ini kami berdiam kerana merasakan masyarakat tidak akan menyebarkan berita palsu lagi.

“Namun, masih ada individu yang menyebarkan fitnah sehingga mengganggu gugat keamanan negara contohnya dalam isu penularan wabak Covid-19, dan itu adalah titik permulaan mengapa kerajaan bertegas untuk memburu individu ini dari terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas isu penyebaran berita palsu dan fitnah yang diadakan di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengembalikan Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Hanipa berkata, kerajaan komited tidak akan mengkaji semula akta berkenaan kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi bagi membendung berita palsu.

Sementara itu, Eddin Syazlee berkata, individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Dari Januari tahun lalu sehingga 20 Februari ini, sebanyak 62 kes sudah disiasat, daripada jumlah itu lapan kes sudah didakwa dengan sembilan pertuduhan.

“Kita akan terus mendidik masyarakat dalam hal penyebaran berita palsu ini, selain itu pihak kementerian turut menyediakan platform dikenali sebagai sebenarnya.my yang boleh menyemak sesuatu berita yang dibaca oleh mereka.

“Melalui portal berkenaan, ia secara tidak langsung akan mendidik masyarakat supaya berhati hati dengan isu yang disampaikan bagi menyemak risalah yang tidak benar,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 12:52pm
    d