mutakhir

Usah risau jika tiada simptom Covid-19

Oleh Zuhainy Zulkiffli

ORANG ramai yang pernah bertemu dengan individu dari China tidak perlu risau dijangkiti wabak Covid-19 jika tidak mempunyai simptom penyakit itu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, tiada keperluan bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memanggil semula individu yang berdepan situasi itu bagi melakukan rawatan.

“Ramai yang sangka jika terkena (Covid-19) akan terus mati... tidak... dan keadaan itu yang menimbulkan trauma dalam kalangan orang ramai.

“Namun, individu itu dinasihatkan segera mendapatkan rawatan atau menjalani kuarantin sekiranya mempunyai simptom,” katanya ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP), Georgetown, hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang pemandu mabuk melanggar pintu kaca mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank Bukit Mertajam, semalam selepas mendakwa tertekan kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

Portal berita Harian Metro semalam melaporkan lelaki itu bertindak demikian berikutan tertekan kerana bimbang dijangkiti Covid-19 selepas mengadakan pertemuan dengan rakan niaga dari China.

Selain itu, suspek juga enggan menjalani pemeriksaan di pusat kesihatan kerana bimbang disahkan jangkitan wabak itu.

Mengulas lanjut, Dr Lee berkata, sehingga kini KKM dan kerajaan giat menjalankan saringan di pintu masuk negara bagi mengesan individu yang disyaki mendapat jangkitan.

“Tidak perlu risau jika tidak ada simptom dan tahap kematian dalam kalangan individu yang sihat juga amat rendah dan kadar 98 peratus akan pulih selepas menerima rawatan,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 4:36pm
    d