mutakhir

Sekat kemasukan ikut 'pintu belakang' [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

PANGKALAN di Sungai Golok dekat Rantau Panjang yang tidak diwartakan, ditutup sementara bagi menyekat kemasukan orang ramai yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan.

Sekatan sempena Ops Monduk itu dilakukan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA 9) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Pegawai Gerakan PGA9 Asisten Superintendan Mohamad Azlee Ismail berkata, tiga pangkalan yang terbabit iaitu pangkalan haram Poknik, Pohon Stol dan Jitong dekat Rantau Panjang.

“Orang awam boleh keluar masuk ke negara jiran Thailand melalui jalan masuk yang dibenarkan seperti Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga di Tanah Merah; ICQS Pengkalan Kubor di Tumpat atau ICQS Rantau Panjang.

“Kesemua laluan masuk terbabit dilengkapi dengan alat pengimbas haba bagi mengenal pasti mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19.

“Setakat ini, orang awam tidak menentang malah memberi kerjasama baik selepas anggota menjelaskan mengenai soal keselamatan dan kesihatan,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan Ops Mundok, hari ini.

Mohamad Azlee berkata, operasi turut mendapat kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) dan anggota polis dari balai terdekat.

Sebelum ini, lebih 300 pengunjung memenuhi pangkalan berkenaan untuk ke Pasar Mundok terutama pada Jumaat.

Katanya, ada juga penduduk mengambil peluang membawa pengunjung menyeberangi sungai menggunakan bot tidak berdaftar selain bawa muatan berlebihan.

“Jika masih ada penduduk yang berdegil, tindakan diambil mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1969/63 yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 5:43pm
    d