mutakhir

Lebih 90 peratus tapak pameran MTF ditempah

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

EKSPO Pelancongan Malaysia (MTF) yang bakal berlangsung dari 13 hingga 15 Mac ini mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 90 peratus tapak pameran sudah ditempah.

Ketua Pegawai Eksekutif MTF Datuk Mohd Khalid Harun berkata, hampir kesemua daripada 1,700 jumlah tapak pameran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC) mendapat sambutan daripada pemain industri pelancongan.

“Dalam jangka masa tidak sampai dua minggu hampir semua ruang niaga telah ditempah oleh syarikat terdiri daripada agensi pelancongan, hotel, syarikat penerbangan, pengangkutan, restoran, bank, insurans, lembaga pelancongan negeri (STO) dan pastinya ruang pameran terbesar adalah daripada Tourism Malaysia.

“Kami masih lagi menerima permintaan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ingin mengambil bahagian dalam MTF dan kami akan mempertimbangkan untuk menambah lagi tapak pameran,” katanya pada sidang media MTF di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan sambutan yang diterima pihaknya menjangkakan lebih 100,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari MTF berlangsung.

Mohd Khalid yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Malaysia (MATA) berkata, wakil dari Tourism Indonesia juga sudah mengesahkan tempahan untuk bersama dalam ekspo ini dan negara Thailand turut menunjukkan minat yang sama.

Beliau berkata, pihaknya turut melancarkan kempen #MYCutiMalaysia bagi menggalakkan pelancongan domestik.

“Memandangkan keadaan Covid-19 kini terkawal dengan hanya dua orang sahaja masih dirawat, MTF menjemput semua lapisan masyarakat berkunjung ke ekspo.

“Pelbagai program menarik akan diadakan sepanjang ekspo berlangsung dan pemberian cenderahati juga akan diberikan kepada pengunjung yang hadir dan tiket masuk hanya RM3 dikenakan ,” katanya.

MTF yang julung kali diadakan turut menerima kepercayaan dan sokongan daripada beberapa syarikat korporat antaranya ialah Tourism Malaysia, Palace Of The Golden Horses, Bank Islam dan pelbagai lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 3:02pm
    d