mutakhir

Henti komen keterlaluan - MAPIM

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

MASYARAKAT perlu berfikiran rasional dan tidak mengeluarkan sebarang komen yang keterlaluan sehingga mengganggu emosi mana-mana pihak susulan video tular yang memaparkan seorang ustazah merangkak di sekolah agama di Parit 15, Hutan Melintang, Perak.

Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM), Datuk Abd Rasid Nopiah berkata, isu berkenaan sudah selesai dan kedua-dua pihak juga sudah bermaafan.

Katanya, sehubungan itu, warganet seharusnya tidak lagi membuat andaian sendiri terhadap mana-mana pihak terbabit sehingga boleh mengeruhkan keadaan.

“Saya harap perkara seumpama ini tidak berulang. Saya percaya kedua-duanya trauma terutama pihak satu lagi yang menerima kecaman disifatkan keterlaluan sehingga mengganggu emosi.

“Masyarakat juga jangan cepat melatah dan tidak buat keputusan sendiri, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Changkat Chermin, Manjung, hari ini.

Katanya, mana-mana pihak juga dinasihatkan supaya tidak mengeluar atau menyebarkan gambar individu terbabit dan video berkenaan.

“Walaupun tindakan yang berlaku dalam video itu menyinggung perasaan pelbagai pihak tetapi masyarakat khususnya perlu berfikiran rasional dan biar ia dijalankan mengikut saluran yang betul.

“Ibu bapa juga perlu membuat aduan mengikut saluran betul dengan cara baik seperti melalui pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan jangan mengambil tindakan sendiri.

“Selain itu, pendidik juga disaran menggunakan cara yang betul untuk mendenda murid,” katanya.

Portal Harian Metro kelmarin, melaporkan kisah berkenaan mendapat perhatian warganet selepas rakaman video berdurasi dua minit 17 saat dimuat naik seorang individu tular di laman sosial.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak sudah bertemu dan saling bermaafan serta turut mengakui perkara berkenaan sudah selesai.

Berita berkaitan

Ustazah sedia pertimbang tawaran

Kes selesai, henti sebar video

Ibu paksa 'guru' merangkak

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 4:20pm
d