mutakhir

Sistem pendaftaran visa umrah, ziarah sudah disekat

Oleh BERNAMA

PENERBANGAN jemaah umrah dari Malaysia ke Arab Saudi masih berjalan seperti biasa sehingga 2 petang ini walaupun kerajaan negara Timur Tengah itu dilaporkan menyekat kemasukan ke negara itu berikutan penularan wabak Covid-19.

Timbalan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Harun KC Ahmmu berkata, menerusi maklumat daripada beberapa agensi pelancongan dan umrah yang bernaung di bawah persatuan itu, jemaah yang tiba di Arab Saudi juga diterima masuk ke negara itu sehingga kini.

“Sehingga 2 petang, semuanya masih berjalan seperti biasa dan semua jemaah yang divisakan dibenarkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Harun berkata bagaimanapun, sistem pendaftaran visa umrah dan ziarah secara dalam talian sudah disekat Arab Saudi sejak awal pagi ini.

“Sistem pendaftaran disekat sejak awal pagi tadi. Bagi jemaah yang sudah mendapat visa, untuk penerbangan petang ini kami masih tidak tahu bagaimana situasi sebenar. Tetapi, kami mendapat maklumat bagi penerbangan menerusi Saudi Arabian Airlines petang ini mungkin disekat,” katanya.

Harun berkata, pihaknya juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai perkembangan semasa jemaah daripada 601 syarikat yang bernaung di bawah persatuan itu.

“Sekiranya visa jemaah Malaysia disekat, memang banyak syarikat akan terkesan dan terjejas. Kita harap kerajaan Arab Saudi akan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam hal ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd Ida Riswana Idris ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menunggu maklumat rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

“Berita ini (sekatan umrah) pagi tadi, orang tak pasti, setakat ini syarikat penerbangan masih membenarkan penerbangan jemaah (ke Arab Saudi). Kami masih tak jelas dengan status sekatan.

“Kami menerima panggilan daripada orang ramai berhubung perkara ini, tapi kami masih tidak dapat beri kata putus kerana semuanya masih tidak pasti dan ini bukan di bawah kawalan kami,” katanya yang berharap keadaan akan kembali pulih seperti biasa.

Pagi hari ini, Kementerian Luar Arab Saudi melalui Twitter memaklumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman coronavirus dan langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 5:33pm
    d